Sunday, July 25, 2010

Penat...

Hari Jumaat baru ni, aku balik dari pejabat lebih kurang dalam pukul 9 malam. Banyak sangat perkara yang aku fikirkan dalam benak kepala. Berkepal-kepal. Kalau ais kepal sedap jugaklah, tapi yang ni tak sedap. Langsung-langsung.

Dalam perjalanan merentasi lebuhraya SPRINT terdetik hati untuk aku menurut kata perut yang leper umpama papan karom riuh bergeser dengan "striker" yang kesat tidak ditabur bedak. Aku memandu menuju ke Dunkin Donuts pandu lalu yang terletak di pinggir lebuhraya bersebelahan Petronas lantas memesan "Chicken Mayo". 1 untuk aku 1 untuk si dia di rumah.

Kebiasaannya aku akan berhenti terlebih dahulu di mana-mana parkir di situ untuk makan. Tapi kali ini aku membuat keputusan untuk makan sambil memandu. Aku meneruskan perjalanan. Makin ligat kepala aku berfikir, makin lahap aku mengunyah "Chicken Mayo" sambil memikirkan kepal-kepal perkara satu persatu.

Trafik agak perlahan dari Kerinchi Link menuju susur keluar ke lebuhraya Persekutuan. Agak "stress" juga bila mimikirkan banyak perkara dalam satu masa ditambah pula dengan ketiadaan hiburan disebabkan kerosakan "amplifier" radio. Kesunyian cukup menyeksakan.

Tumpuan aku kadang-kadang terarah pada gelagat pemanduan warga kota. Ada masanya aku tertawa melihatnya dan ada masanya aku agak berang dengan sikap mereka (Begitulah sebaliknya, aku tidak terkecuali). Namun itulah rutin harian bagi aku pergi-balik pejabat. Kesesakan lalu lintas.

Aku cuba abaikan setiap perkara yang merunsingkan kepala. Makin meruncing jika difikirkan lama-lama. Aku tumpukan pada pemanduan. Lebih kurang 200 meter aku tetapkan lorong untuk melepasi plaza tol. Tiba giliran,aku terus hulurkan tangan pada penjaga tol untuk pembayaran. Namun tiada reaksi.

Aku terdiam. Sambil terkebil-kebil melihat wajah kosong penjaga tol berkenaan."Aiseh, sorry kak..hehe" Aku terhulur "Smart TAG" rupanya. Hanya sengihan sumbang yang mampu aku beri. Selesai pembayaran aku terus memecut laju meninggalkan plaza tol bersama-sama kepal-kepal perkara yang memenatkan kepala.


--------------

2 comments: